Kekalkan Solidariti… Menangkan Semula BN Pada PRU15 – Zahid

HULU TERENGGANU, 22 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak para hadirin yang hadir ke Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran untuk mengekalkan semangat yang ditonjolkan mereka bagi menangkan semula Barisan Nasional (BN) dan mengambil alih Terengganu.

Jelasnya, UMNO/BN mampu untuk melakukan sedemikian meskipun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said hanya menyasarkan untuk menang di empat kerusi Parlimen negeri itu.

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu janji akan rampas balik sekurang-kurangnya empat daripada lapan kerusi parlimen yang akan kita tandingi. Perkara ini tidak mustahil.

“Terengganu ini dipanggil sebagai ‘swing state’. Kalau sebelum ini kita kalah, kali ini kita akan rampas semula,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Solidariti Dan Kemakmuran di sini, Jumaat.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi BN itu yakin bahawa UMNO/BN akan menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Insya-Allah kita akan menang besar pada PRU yang akan datang. Saya yakin kemenangan ini boleh dicapai dengan solidariti. Penyatuan yang ada dalam kepimpinan UMNO/BN di Terengganu ini sangat tidak asing lagi. Saya yakin dengan Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan.

“Bayangkan ketika kita senang, kita diuji. Ketika kita susah, kita lebih diuji. Nama yang kita ada ini mesti tahan dengan daya ujian.

“Sama seperti di Hulu Terengganu, tak tahan dengan ujian maka jadi ‘katak’. Kali ini kita rampas semula daripada orang itu. Bagaimana? Caranya adalah dengan bersolidariti,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, beliau berhasrat dengan himpunan ini akan dapat mewujudkan kemakmuran serta kestabilan kepada rakyat.

“Kita berhasrat dengan himpunan ini kita akan dapat mewujudkan kemakmuran kepada rakyat. Pada PRU ke-15 kita akan pastikan bahawa kita dapat majoriti yang besar supaya dapat capai kestabilan serta kemakmuran.

“Pilihan raya kali ini adalah wadah untuk menolak katak yang merosakkan demokrasi. Siapa yang menghalalkan lompat-melompat ini? Kerajaan PH.

“Daripada situasi itulah terdapat ketidakstabilan. Bagi menghadapi PRU ke-15 UMNO/BN mesti jadi kerajaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berharap agar rakyat memberikan kuasa yang dominan kepada UMNO/BN pada PRU ke-14 setelah parti itu melalui pelbagai dugaan dan ranjau.

“Empat tahun setengah kita sengsara kerana diugut oleh menteri kabinet. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri lantik sendiri kerana ketika kerajaan gagal mentadbir selama 17 bulan (Perikatan Nasional) mahu mengharamkan UMNO/BN.

“Namun situasi itu telah berubah dan mereka mengatakan kerajaan sekarang bukan kerajaan yang absah, maka kita berhimpun pada hari ini dan Insya-Allah kita akan pastikan rakyat memberikan mandat secara dominan kepada UMNO/BN pada 19 November nanti,” katanya lagi. – UMNO Online