Isu Tommy Thomas: Sudah Dijangka PH Lari Dari Masalah, Salahkan UMNO – Zahida

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan memaklumkan sememangnya sikap Pakatan Harapan (PH) sudah dijangka iaitu akan lari daripada masalah mereka.

Beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkata, paling mudah katanya, PH sebenarnya salahkan UMNO.

“Satu dunia tahu Tommy Thomas adalah Peguam Negara lantikan kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14 lalu.

“Tommy Thomas sudah banyak ‘berjasa’ sebagai peguam negara, menjayakan agenda bantu bebaskan kawan, dan dakwa musuh-musuh politik PH waktu itu,” katanya.

Ujarnya, sebelum itu pula dilaporkan Tommy Thomas juga adalah peguam peribadi kepada pemimpin tertinggi Dap.

“Sekarang kalian nak kata dia tak ada kaitan dengan PH?” bidas Zahida lagi.

Terdahulu pada sidang media semalam, Setiausaha Agung Dap Loke Siew Fook memaklumkan bahawa PH tidak perlu jawab untuk Tommy Thomas selaku bekas peguam negara kerana bukan pemimpin dalam PH dan bukan ahli mana-mana parti politik.

Dilaporkan, Tommy Thomas menulis memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan pada Januari 2021 dengan memuatkan pelbagai pendedahan termasuk kepincangan sistem kehakiman, unsur penghinaan dan bersifat menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara. Susulan itu pelbagai pihak membuat laporan polis berhubung kandungannya.

Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika PH berkuasa pada 2018 tetapi meletak jawatan selepas gabungan itu tumbang pada Februari 2020. – UMNO Online