PRU15 : Johor Bakal Sumbang 20 Kerusi Parlimen Untuk BN Bentuk Kerajaan

ISKANDAR PUTERI, 3 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengulangi keyakinan menyasarkan kemenangan 20 kerusi Parlimen untuk negeri Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya perkara tersebut tidak sukar untuk diperoleh memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan BN menang dengan dua pertiga majoriti iaitu 40 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika urusan jentera ini bergerak dengan sempurna insya-Allah kita akan dapat keputusan yang baik pada 19 Nov… saya sudah bagi satu target kepada Hasni, Onn Hafiz dan BN Johor untuk memberikan 20 kerusi Parlimen kepada kami untuk tubuh kerajaan BN di Putrajaya.

“Tepukan ini mempunyai keyakinan, inilah tentera badar kita yang akan mengharungi PRU15… jangan risau kita bukan nak berkempen burukkan orang, sebab orang tahu, semua ada Whatapps untuk tahu kebenaran jadi berikan semula kepercayaan kepada BN untuk uruskan negara.

“Saya yakin dan dah kira 20 daripada negeri ini, PRN lalu menang 40 daripada 56 kerusi DUN dan anda menguruskan negeri ini sangat baik. Saya rasa tidak ada masalah sebab itu yakin Johor boleh menyumbang angka tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera dan Manifesto BN Negeri Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Educity, Iskandar Puteri malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan kepimpinan lain.

Mendepani itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata persiapan jentera sebaik mungkin perlu dilakukan untuk bertemu seberapa ramai pengundi bagi menjelaskan kepentingan mengundi BN pada PRU15 ini.

Menurut beliau, mereka perlu memahami bahawa tragedi selama 22 dan 17 bulan yang berlaku sebelum ini ternyata membawa mudarat kepada perkembangan ekonomi negara.

“Temuilah seramai mungkin pengundi di tempat kita terangkan kepada mereka bagi kami mandat, bagilah parti yang telah mempunyai trek rekod terbaik memerintah negara.

“Cukup-cukuplah membuat eksperimen kerana ianya buat kita hidup sengsara pada hari ini negara kita begitu teruk keadaannya selepas pilihan raya dengan hutang meningkat.

“Rakyat juga hidup sengsara, tak pernah dalam sejarah Malaysia rakyat terpaksa angkat bendera putih minta makanan, lagi nak jual temberang sana sini katakan dialah paling baik mengurus negara,” ujar beliau. – UMNO Online