Perjuangan Politik BN Merentasi Gender Dan Etnik – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa parti mahu kemenangan besar BN sebagai wadah penting dalam memperjuangkan politik kesederhanaan yang selama ini terbukti mampu menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Jelasnya, ketika berdepan ibu segala pilihan raya kali ini dan dalam usaha BN memulih serta mencapai kemenangan banyak faktor yang diambil kira agar resipi kejayaan benar-benar tercapai.

“Kadangkala ini sukar difahami sesetengah pihak, kurang diyakini, malah ada memperlekehkan strategi ini. Memang kadang kala dalam perjuangan ke arah kemenangan besar tidak semua kita boleh dedahkan strategi dan senjata sulit kita.

“PRN Melaka dan Johor membuktikan strategi kita berkempen dan membuat perubahan dalam pemilihan calon misalnya memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya. Sebelum kemenangan itu tidak kurang yang memperlekehkannya,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ujarnya, dalam menggabung jalin segala strategi ke arah kemenangan ini, perjuangan ini merentasi gender dan etnik.

“Dalam isu gender memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita. Kita cuba penuhi sedaya upaya namun dalam kita cuba penuhi tersebut ada bantahan kalangan pihak tertentu misalnya ada calon penyandang calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis.

“Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita. Kita sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin. Saya kira bukan sahaja BN, akan tetapi parti-parti lain bukan BN juga lakukan perkara sama.

“Namun dalam memastikan kemenangan perjuangan parti merentasi agenda gender maknanya peranan gender penting tapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon juga merentasi faktor gender.”

Begitu juga katanya, soal etnik, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik.

“Sesiapa sahaja dilihat boleh menang dan memiliki ciri WALI akan dipertaruhkan untuk bertanding. Semua calon terbaik namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran (revival) parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan.

“Dengan kata lain kalau boleh diungkapkan sebagai ” tidaklah kisah sama ada warna kucing tersebut, hitam atau putih atau warna apa sekali pun, atau gender apa sekali pun asalkan ia berkemampuan mengalahkan tikus”. Jadi tidak timbul isu kononnya ada bias gender atau warna kulit. Sebaliknya perjuangan manusia sejagat melangkaui warna kulit dan biologi.

“Maknanya juga kemenangan akan datang dengan menggunakan senjata politik mekanisme terbaik yang merentasi segala aspek pertimbangan. Apa pun strategi kemenangan ia juga sebahagian daripada langkah taktikal parti. Namun adalah tidak benar, propaganda malah suatu fitnah besar dilontarkan kononnya pemimpin parti mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH. Sedangkan semua parti mahu kemenangan besar termasuk parti baru bertanding.”

Tegas Ahmad Zahid, fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.

“Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti Amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981. Insya-Allah UMNO khususnya dan BN keseluruhannya terus memilih kesederhanaan dalam politik sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online