PADU: Realistik, Penuhi Keperluan Anak Muda – Shahril

ALOR GAJAH, 9 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah semestinya menjanjikan tawaran realistik serta boleh dilaksana bagi memenuhi keperluan rakyat terutamanya anak muda.

Calon BN bagi kerusi Alor Gajah, Shahril Hamdan berkata, salah satu tawaran positif yang disediakan oleh parti itu untuk ialah pusat asuhan kanak-kanak bagi ibu bapa muda yang bekerja.

“Saya melihat ada banyak tawaran PADU yang menyentuh kepentingan anak muda tetapi sebagai orang berusia 30-an, pusat asuhan percuma ini merupakan satu perkara yang positif.

“Bagaimana satu keluarga muda yang mungkin kedua-duanya perlu bekerja dan mencari rezeki, tetapi apabila melahirkan anak adakalanya wanita atau ibu tersebut agak susah untuk kembali semula ke alam pekerjaan.

“Jadi di sini memberikan sekurang-kurang memberikan option. Saya tahu ianya tidaklah menyelesaikan segala masalah namun sekurang-kurangnya ada pilihan untuk hantar anak ke pusat asuhan yang bertauliah dan berkualiti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi ‘walkabout’ di sini, hari ini.

Beliau yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu turut mengingatkan rakyat bahawa manifesto PADU ini bukanlah ‘madu yang beracun’ malah realistik untuk dilaksanakan.

“Kita juga ada berikan tawaran pendidikan pengajian tinggi percuma untuk golongan B40. Kita PADU, kita tak tawarkan ‘madu yang beracun’.

“Sebab apa saya cakap macam tu, kita tak boleh nak berikan pendidikan percuma untuk semua. Itu mungkin madulah, sebab kita pernah dengar madu yang seperti itu.

“Tetapi UMNO/BN sentiasa menjanjikan sesuatu yang realistik dan kita telah pun membuat perkiraan kos. Itulah janji yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahril turut mengingatkan para pengundi untuk menilai segala janji yang ditaburkan oleh pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH).

“Kita tak buat janji yang menarik, tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya. Sama seperti jadi wakil rakyat. Kita boleh berjanji macam-macam tetapi pelaksanaan itu lebih penting.

“Saya mengharapkan agar para pengundi dapat menilai dengan baik segala janji dan manifesto yang telah ditawarkan serta membuat pilihan terbaik dalam menentukan kerajaan mentadbir negara,” katanya lagi.

Pada Isnin Barisan Nasional (BN) menggariskan sepuluh teras dan 99 tawaran yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan sekiranya menang dalam PRU15.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa manifesto ini bukanlah janji-janji manis serta realistik untuk dilaksanakan. – UMNO Online