Jentera BN Fokus Kempen Secara Harmoni, Elak Lakukan Provokasi Atau Fitnah – Ismail Sabri

SEPANG, 14 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu fokus menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara harmoni tanpa melakukan sebarang provokasi atau fitnah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata jentera BN perlu memberi jaminan kepada rakyat yang gabungan itu akan membela nasib semua pihak sekiranya memenangi PRU15.

“Kita mesti jalankan kempen secara harmoni dengan tiada provokasi atau fitnah. Kita jual ‘produk’ kita jangan terlampau burukkan ‘produk’ orang lain.

“Produk kita perlu kita jual. Kalau rakyat terima kita, pasti mereka akan sokong kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.