Semua Ahli Parlimen BN Wajib Ikut Ketetapan Dewan Tertinggi – Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majoriti ahli Parlimen BN telah memutuskan bahawa ketetapan dan arahan parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan arahan tetap yang wajib diikuti semua ahli Parlimen BN kerana bertanding atas tiket BN.

Ujar Presiden UMNO itu, mana-mana individu yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya akuan bersumpah (SD) untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ianya melanggar ketetapan parti serta akuan-akuan bersumpah yang telah ditandatangani oleh setiap calon BN.


“Kita telah mengambil ketetapan bahawa ahli-ahli Parlimen BN akan mengikut ketetapan Dewan Tertinggi BN yang akan membuat keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik bagi membentuk kerajaan baharu di negara ini.

“Berdasarkan jawatankuasa rundingan yang telah kami bentuk untuk mengadakan rundingan-rundingan dengan pihak-pihak yang akan membentuk kerajaan,” ujarnya dalam satu sidang media selepas pertemuan bersama 26 ahli Parlimen BN daripada 30 kesemua ahli Parlimen BN di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.

Tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, mana-mana kenyataan yang dikeluarkan bahawa BN telah menyertai mana-mana gabungan yang adalah tidak benar.

“Ini kerana tidak ada perbincangan terutamanya dengan pihak Perikatan Nasional (PN) yang kononnya kami telah bersama dengan mereka,” katanya lagi.

Di dalam hal ini tambahnya, segala keputusan hanya akan dibuat setelah jawatankuasa rundingan bertemu dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan dan setelah Dewan Tertinggi BN memutuskan secara rasmi dengan mendengar semua maklum balas perundingan-perundingan.

“Jika mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana gabungan yang mahu menyokong mana-mana pihak yang memasukkan BN adalah bersama-sama dengan mereka adalah tidak benar,” katanya.

Ulas Ahmad Zahid lagi, beliau memohon kepada Speaker Dewan Rakyat agar dapat memanjangkan tempoh dan waktu yang lebih fleksibel untuk menyerahkan SD.

“Hari ini ahli-ahli Parlimen BN telah secara sepakat akan menghantar akuan bersumpah kepada surat yang telah dikemukakan oleh Speaker Dewan Rakyat mengikut tempoh yang telah ditentukan pada jam 2 petang ini.

“Maka kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat melanjutkan sedikit jangka waktu itu pada waktu yang agak lebih fleksibel untuk kami mengemukakan akuan bersumpah setelah keputusan dan berdasarkan rundingan yang akan kami lakukan dengan mana-mana pihak yang berkenaan,” ujarnya. – UMNO ONLINE