PM Baharu Diharap Berkhidmat Untuk Rakyat, Lakukan Terbaik Demi Kemakmuran Semua

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Perdana Menteri baharu akan dapat berkhidmat untuk rakyat dengan gigih dan adil malah melakukan yang terbaik untuk kemakmuran semua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian menerusi ciapan Twitternya berikutan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10 semalam.

Dalam ciapan terdahulu, Ahmad berharap agar Anwar memperbaiki ekonomi rakyat dan ekonomi negara dengan menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai fokus utama.

“Kos hidup mesti dikurangkan. Pendapatan kerajaan mesti ditambah. Pendidikan dan kemahiran tinggi orang muda. Bangunkan kawasan desa. Adil kepada semua kaum. Hebatkan #Malaysia peringkat antarabangsa,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara bagi membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – UMNO Online