Rasuah tetap rasuah, kata Isham Jalil

KETUA Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mengingatkan semua pihak untuk tidak menegakkan benang basah dalam isu merasuah pengundi pada musim pilihan raya oleh Perikatan Nasional (PN) yang dianggap sebagai sedekah.

Katanya, sekiranya Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin mempunyai bukti kukuh bahawa PN tidak merasuah pengundi maka beliau diminta tampil untuk menjelaskannya kepada rakyat.

Semalam Raja Petra membuat video mempertahankan ‘sedekah’ PN. Dia juga ulas berkenaan saranan saya supaya Hamzah Zainuddin menunjukkan bukti kukuh bahawa PN tidak rasuah pengundi. Katanya lagi, sepatutnya orang yang menuduhlah menunjukkan bukti, bukan orang yang dituduh. Saya faham undang-undang, perkara ini dalam kebanyakan kes adalah betul. Namun ia tidak setiap masa betul.

“Bezanya kali ini, sehari sebelum saya mengutarakan saranan di atas, Hamzah Zainuddin yang membuat kenyataan media bahawa kononnya dia ada bukti kukuh bahawa PN tidak beri rasuah kepada pengundi walaupun banyak video tular dan laporan polis telah dibuat menunjukkan sebaliknya.

“Oleh itu, jika dia (Hamzah) sudah ada bukti kukuh seperti yang dinyatakan, maka tunjukkanlah kepada rakyat, dan tidak perlulah rakyat tertunggu-tunggu untuk menutup isu ini atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersusah-susah dan berhabis sumber untuk mencari bukti sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.