Pertandingan adalah sihat, kata Zahid

PERTANDINGAN merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno serta jawatan ke bawah pada pemilihan parti mewujudkan persaingan sihat, kata Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun terdapat dakwaan pertandingan jawatan akan membuka ruang kepada wujudnya kem-kem calon, pemilihan yang dibuat di peringkat akar umbi adalah lebih penting.

“Dengan penawaran diri (calon) bagi jawatan naib presiden dan ke bawah ini adalah persaingan sihat dan saya rasakan yang penting adalah bukan pemilihan yang dibuat melalui kumpulan ‘sepapan’ (kem).

“Tetapi yang lebih penting, pada hemat saya pemilihan dibuat di peringkat bahagian dan cawangan akan memilih individu daripada kalangan calon terbaik pada 18 Mac nanti,” katanya di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.