Saarani nafi khabar angin kerajaan Perak tumbang

MENTERI Besar Perak Saarani Mohamad menafikan spekulasi terdapat gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak, malah menegaskan kerajaan negeri kini kuat dan stabil.

Saarani berkata dakwaan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada berjumpa dengan beliau (Razman), sengaja dibuat untuk mewujudkan persepsi kononnya terdapat pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

Menurut Saarani persepsi negatif yang sengaja diwujudkan itu boleh menggugat kepercayaan para pelabur, sekali gus mengundang risiko kepada pembangunan negeri.

“Kita sedang bertungkus-lumus untuk menarik seramai mungkin pelabur, membawa sebanyak mungkin pelaburan ke dalam negeri ini dan mereka akan melabur dengan jumlah wang yang begitu besar, berbilion-bilion ringgit. Dia (pelabur) perlukan masa yang panjang untuk melabur dan (mendapat) pulangan semula.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja kuat dan stabil, malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan, sifat bertanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya pada sidang media sebelum bermulanya persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada sidang media itu, kesemua ADUN di bawah Kerajaan Perpaduan Perak hadir bersama Saarani, kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming kerana kini berada di Jepun dan ADUN Keranji, Koo Haai Yen yang hadir lewat.