‘Tinggalkan mereka yang tiada kaitan dengan Umno’

UMNO sama sekali tidak dapat menahan ahli-ahlinya yang dipecat mahupun yang sedang digantung daripada mengkritik parti itu.

Tetapi,  Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, akar umbi Umno boleh menilai sendiri mana-mana pihak yang memburuk-burukkan parti.

“Kita tidak dapat menahan orang daripada bercakap apa juga yang diperkata dan dilemparkan. Ahli boleh nilai sendiri apa juga yang dikatakan kerana kita mengamalkan kebebasan bersuara, tambahan pula mereka tidak lagi ahli Umno (yang dipecat) dan yang digantung  itu terpulang kepada mereka untuk bercakap, kita tidak boleh halang.

“Tetapi Umno parti yang telah lama, saya jangkakan ahli boleh buat penilaian sendiri kadang-kadang ada ungkapan yang mereka lemparkan itu merupakan psywar, melepaskan geram.

“Saya harap ahli UMNO tidak terganggu dengan apa yang dikatakan,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU2023), hari ini.