Umno kutuk kekejaman rejim Yahudi di Gaza

UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan kejam regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang telah mengorbankan nyawa manusia tidak berdosa termasuk wanita serta kanak-kanak, demikian tegas Setiausaha Agung, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kekejaman Israel yang berterusan menyerang Palestin termasuk usaha mengusir mereka dari tanahair sendiri merupakan sebuah jenayah.

“Umno merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden parti merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya membawa usul khas di Parlimen bagi menzahirkan solidariti seluruh Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira ideologi politik, membawa suara rasmi rakyat Malaysia bersama dengan rakyat Palestin yang kini sedang disembelih dengan kejam oleh regim Zionis.

“Umno mendokong penuh pendirian Kerajaan Malaysia dalam mengutuk tindakan kejam yang tidak berperi-kemanusiaan regim zionis dan tidak akan sesekali menormalisasi hubungan diplomatik dengan negara haram penjajah Israel.

“Atas nama kemanusiaan dan hak asasi, Umno mendesak masyarakat dunia untuk bersatu serta bersama-sama atas satu suara bagi mempertahankan kedaulatan Palestin disamping menghulurkan segera bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya dalam satu kenyataan media.