Kerjasama BN-PH cukup ikhlas, kata presiden

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keikhlasan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah membawa Kerajaan Perpaduan ke mercu kejayaan pada ketika ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata keikhlasan itu perlu dikekalkan dan prinsip itu bukan sahaja harus didukung oleh pimpinan kedua-dua gabungan parti politik itu tetapi juga di peringkat akar umbi.

“Keikhlasan inilah yang mengikat kita hari ini, keikhlasan politik inilah yang telah membawa kita ke mercu kejayaan setakat ini.

“Saya sering mengingatkan diri saya, untuk memperoleh kejayaan itu sukar, tetapi untuk mempertahankan kejayaan itu lebih sukar,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan beberapa menteri kabinet pimpinan PH dan BN negeri.

Ahmad Zahid berkata ketika ini Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar memiliki sejumlah 153 sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Namun, beliau mengingatkan jumlah sokongan itu tidak boleh dianggap sebagai zon selesa bagi PH dan BN, malah ia perlu dipertahankan.

“Saya yakin di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dukungan Ahli-ahli Parlimen ini terus akan bertambah supaya Kerajaan MADANI terus kukuh di peringkat nasional,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar kepimpinan BN dan PH khususnya di peringkat negeri agar tidak melakukan sebarang perebutan jawatan sebaliknya melakukan rundingan sebaik mungkin. – BERNAMA