Ku Li mahu DAP lupakan slogan ‘Malaysian Malaysia’

HUBUNGAN UMNO dan DAP boleh bertambah baik jika DAP meninggalkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang selama ini dilaung-laungkannya, kata veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li.

Beliau berkata, konsep itulah yang selama ini menyebabkan orang Melayu tidak mempercayainya.

“Ramai yang tak puas hati kerana DAP mahu memperjuangkan kedudukan sama rata di antara bukan Melayu dan Melayu, seperti hari ini,” katanya pada wawancara eksklusif dengan FMT.

“Itulah tujuan utama DAP mewujudkan slogan itu. Jika mereka melupakannya, saya percaya akan wujud pengukuhan hubungan di antara UMNO dan DAP,” katanya.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ dikaitkan dengan DAP dan pemimpinnya sejak parti itu ditubuhkan pada 1966.

Diasaskan oleh Lee Kuan Yew ketika Singapura masih sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu, ia berteraskan ‘semua rakyat Malaysia berbilang kaum berkongsi apa sahaja peluang yang ada sama rata’.

Pemimpin UMNO sudah berulang kalli mendesak DAP agar menggugurkan slogan itu jika mahukan sokongan Melayu.

Bagaimanapun Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook berkata tahun lalu ianya tidak perlu.

Katanya, prinsip slogan itu sudah dijelaskan dengan persetujuan semua pihak sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Anthony juga mengulangi pendirian DAP yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu bahasa rasmi negara dan hak istimewa orang Melayu serta Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ku Li, bekas Ahli Parlimen Gua Musang juga mendakwa hak istimewa orang Melayu sering disalahertikan sebagai hak untuk menerima layanan istimewa kerajaan sedangkan ianya sudah diperjelaskan di dalam ‘kontrak sosial’ yang ada hingga hari ini.