‘Dua jawatan tertinggi boleh dipertandingkan’

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026.

Timbalan Perdana Menteri itu menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO akan datang untuk membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.

Namun tegasnya, UMNO perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu berbanding memikirkan soal pemilihan dan jawatan tertinggi parti.

“Saya amat terbuka dalam perkara ini. Namun apa yang lebih penting UMNO harus dipertahankan dan kekal relevan bukannya memikirkan soal pertandingan.

“Kita perlu lihat situasi sesuatu tahun atau tarikh yang akan ditentukan itu sudah tentunya seseorang calon itu tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, ia bergantung kepada dukungan para perwakilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Bahagian Muar di sini, pada Ahad.