BN, PH sepakat kerjasama di PRK Nenggiri

BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah bersepakat untuk menyelaraskan kerjasama dari pelbagai sudut khususnya untuk menggerakkan para jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan (DUN) Nenggiri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa siri PRK yang telah dilalui oleh Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak membantu menguatkan kesefahaman antara jentera dua parti tersebut.

“Mesyuarat ini adalah susulan daripada Mesyuarat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan pimpinan tertinggi BN dan PH yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun lalu. Beliau telah mengarahkan supaya mesyuarat penyelarasan diadakan khususnya melibatkan operasi jentera BN-PH untuk menghadapi PRK Nenggiri.

“Kita telah bersepakat untuk menyelaraskan kerjasama ini dari pelbagai sudut khususnya untuk menggerakkan jentera seluruh BN-PH bukan sahaja daripada bahagian-bahagian dan juga cabang-cabang di Negeri Kelantan, tetapi juga daripada negeri-negeri lain.

“Ini kerana kita melihat PRK Nenggiri ini adalah penting dan kita meneruskan kerjasama yang padu seperti yang ditunjukkan dalam siri-siri pilihan raya lalu. Kita merasakan kita dah sampai ke tahap kematangan kerana pengalaman dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan siri-siri PRK bermula daripada Tioman sehinggalah ke Sungai Bakap, sedikit sebanyak membantu dalam menguatkan lagi kesefahaman di antara dua jentera utama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di PRK Nenggiri ini bergantung sepenuhnya kepada kerja kuat jentera untuk meraih sokongan pengundi.

“Justeru, kita melihat bahawa untuk menang di Nenggiri ini bergantung kepada kerja kuat kedua-dua jentera dalam meraih sokongan dan dukungan daripada pengundi-pengundi yang mempunyai latar belakang serta demografi yang berbagai termasuk kampung tradisi, FELDA di bawah Wilayah Kelantan (KESEDAR).

“Antara yang paling penting juga adalah kawasan orang asli sebab itulah kekuatan yang ada pada BN-PH kerana kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang besar. Dahulunya apabila kami tidak bersama, undi tersebut pecah. Tetapi kita harapkan kali ini dengan kesepaduan yang ada, kita dapat sokongan penuh daripada pengundi-pengundi termasuk daripada kalangan orang asli,” katanya lagi.