UMNO, Kabinet kecam pembunuhan Ismail

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesedihannya di atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran semalam.

Dalam hantaran FBnya, presiden UMNO itu berkata beliau terkejut dan teramat sedih apabila menerima berita kematian Ismail.

“Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan kesedihan saya hari ini apabila seorang sahabat dan pejuang Islam itu serta pegawal peribadinya terbunuh dalam serangan yang dipercayai perbuatan Zionis,” katanya.

Beliau turut mengenang kembali pertemuannya dengan Ismail serta bagaimana mereka berkongsi pandangan mengenai perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan.

“Satu kehilangan besar kepada dunia Islam. Apapun, semangat perjuangannya tidak akan luput di kalangan rakyat Palestin. Kita akan tetap bersama mereka.”

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan kesedihan di atas kejadian yang meragut nyawa Ismail dan pengawalnya.

Sambil mengecam pelakunya, Anwar berkata dunia harus mengutuk serangan itu serta keganasan Yahudi yang setakat ini sudah meragut lebih 40,000 jiwa di Gaza.