BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy membenarkan permohonan yang dikemukakan bekas perdana menteri atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.
Untuk rekod, kes yang dibicarakan ini berbeza daripada satu lagi kes melibatkan Najib dan SRC.
Najib yang juga bekas Presiden Umno mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram – berjumlah RM27 juta – pada 3 Feb 2019.
Dia didakwa menggunakan wang tersebut untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang.
Najib dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Ahli politik berusia 71 tahun itu berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihhi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Minggu lalu peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata tidak adil untuk membiarkan anak guamnya terumbang-ambing tanpa tarikh perbicaraan yang jelas apabila pihak pendakwaan tidak dapat menentukan bila mereka akan dapat menyusun eksibit daripada perbicaraan SRC sebelum ini.
Najib – kini ditahan di Penjara Kajang – sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020.
Pertuduhan itu melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.