PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk memutuskan usul mengembalikan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang digantung selama enam tahun sejak Januari 2023.
Menurut Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Sembrong itu masih belum mengemukakan sebarang rayuan atau permohonan maaf berhubung penggantungan tersebut.
“Kita akan tunggu usul berkenaan dibawa oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam Biro Politik parti,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam.
UMNO Bahagian Sembrong sebelum ini meluluskan usul mendesak agar penggantungan terhadap bekas ketua bahagian itu ditarik balik.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor memaklumkan akan membawa perkara tersebut ke peringkat kepimpinan tertinggi parti.
Hishammuddin dikenakan tindakan disiplin atas pelanggaran Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO, namun butiran lanjut mengenainya tidak didedahkan kepada umum.