NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak tanggapan pelantikannya menjalankan tugas dan fungsi bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menandakan parti itu semakin mendominasi Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata dominasi ditentukan di Dewan Rakyat di mana UMNO hanya mengisi 26 kerusi Parlimen.
“Bagaimana kami boleh mendominasi Kabinet? UMNO hanya ada 26 ahli Parlimen. Dominasi ditentukan di Parlimen dan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan mempunyai kira-kira 148 ahli Parlimen dan di situlah terletaknya kekuatan,” katanya.
Johari menjelaskan demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Johari diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, manakala Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi Kementerian Ekonomi.
Ia masing-masing susulan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Rafizi Ramli selepas kedua-duanya tewas pada pemilihan PKR bagi jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden.
Perdana Menteri menegaskan keputusan memilih Johari dan Amir Hamzah bukan disebabkan kerajaan ketandusan calon pengganti, sebaliknya mereka hanya menjalankan tugas berkenaan hingga pelantikan baharu dibuat.