‘Ia hanya sesi biasa dengan presiden parti’

PERHIMPUNAN ketua bahagian UMNO seluruh negara yang dijadualkan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Khamis ini bukan bertujuan mendesak pelaksanaan Titah Adendum berhubung Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya sesi penerangan bersama presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Berkumpul Khamis ini memang betul, tapi bukan untuk desakan. Ia hanya penerangan bersama Presiden.

“Tiada agenda untuk mendesak pelaksanaan Titah Adendum seperti yang tersebar,” kata sumber-sumber UMNO hari ini.

Sebelum itu, tular dakwaan kononnya semua ketua bahagian akan berhimpun di ibu pejabat parti itu bagi menyatakan pendirian mendesak kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembebasan penuh bekas Perdana Menteri tersebut.

Bagaimanapun, sumber itu menegaskan UMNO kekal menghormati saluran undang-undang dan institusi diraja dalam sebarang isu melibatkan kepentingan parti dan negara.