‘UMNO juga parti tempatan di Sabah’

UMNO juga ialah parti tempatan Sabah dan sepatutnya tidak lagi dianggap sebagai parti Semenanjung sahaja, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dan ahli Majlis Kerja Tertinggi berkata, UMNO sudah bertapak di Sabah lebih tiga dekad dan ia dipimpin oleh anak Sabah sendiri.

“UMNO bukan lagi parti Malaya. Jika sesebuah parti sudah bertapak 34 atau 35 tahun di negeri itu, ia tak sepatuutnya digelar ‘parti Malaya’ lagi.

“Ia kini parti tempatan dan kebangsaan, inilah gambaran tepat bagi UMNO dan Barisan Nasional di Sabah,” katanya di Lahad Datu, Selasa lalu.

Beliau berkata demikian berikutan meningkatnya sentimen politik Sabah, seperti juga Sarawak, yang mahukan lebih penyertaan di Putrajaya.

Ahmad juga melahirkan keyakinannya bahawa UMNO mampu merampas semua kerusi dalam bahagian Lahad Datu.

Pada 2018, berikutan kekalahannya dalam PRU14, UMNO mengumumkan bahawa parti itu di Sabah akan diberikan autonomi lebih luas bagi mentadbir urusannya sendiri, termasuk melantik pemimpin, calon pilihanraya dan menentukan hala tuju sendiri untuk terus bertapak di negeri itu.