BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Dr Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik samannya terhadap Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula menarik balik saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Langkawi, berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ia susulan kedua-dua pemimpin politik ini, menimbangkan saranan supaya menyelesaikan kes di luar mahkamah demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian.
Menurut kenyataan bersama Dr Mahathir dan Ahmad Zahid, mereka bersetuju menghentikan pertikaian peribadi.
Peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, kedua-dua pihak mengakui ada kenyataan yang menimbulkan kekeliruan berkaitan identiti dan integriti mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara ini telah diperjelaskan dengan sewajarnya oleh semua pihak.