Tak Nak Bubar DUN Mahu Fokus Banjir… PH Berbohong, Tiga Ketua Kerajaan Negeri Jadi Calon PRU – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Pakatan Harapan (PH) lantaran dianggap berbohong berikutan alasan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tadbiran mereka untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilaksana serentak.

Terdahulu, kepimpinan PH termasuklah Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa keputusan tidak membubarkan DUN diambil bagi memastikan persiapan dibuat untuk menangani banjir di tiga negeri tadbiran mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam hal ini, Dr Asyraf menempelak tindakan yang sebaliknya dilakukan oleh kepimpinan PH.

“Kan saya dah kata hari itu. Mereka berbohong. Kata tak bubar DUN bagi tiga negeri dikawal PH kononnya kerajaan negeri mahu fokus banjir tapi ketua kerajaan ketiga-tiga negeri turut bertanding dan berkempen pada PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran pendek dalam laman Facebooknya dengan melampirkan gambar dan petikan artikel berkaitan kepimpinan PH di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang menjadi calon bagi kerusi peringkat Parlimen dalam PRU15.

Ini membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calonnya di Parlimen Gombak; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon PH bagi Parlimen Port Dickson sementara Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, Anwar yang juga penyandang Parlimen Port Dickson telah mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun, Perak.

Antara nama lain yang menjawat ADUN namun dinamakan bertanding dalam kerusi Parlimen ialah Syeerlena Abdul Rashid yang kini ADUN Seri Delima untuk bertanding di Parlimen Bukit Bendera; ADUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), Muhammad Faiz Fadzil bagi kerusi Parlimen Tampin dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail di Parlimen Ampang. – UMNO Online