Tiada kompromi dalam hal agama – Asyraf Wajdi

UMNO tetap berprinsip dalam mendukung aspirasi perjuangan parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya meskipun bersama dalam Kerajaan Perpaduan namun tiada kompromi yang akan diberikan sekiranya membabitkan Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, bangsa, keistimewaan Bumiputera dan bahasa kebangsaan.

“Umno dari segi konteks menjaga kepentingan Islam ini tidak pernah berkompromi walaupun kita membentuk Kerajaan Perpaduan… kerana itulah perjanjian yang kita letakkan apabila kita bersetuju untuk membentuk sebahagian daripada kerajaan perpaduan, soal Islam, kepentingan Raja-raja Melayu, bangsa, keistimewaan Bumiputera, bahasa Melayu merupakan perkara paling asas dalam perjanjian yang kita meterai.

“Dalam konteks ini Umno tidak akan teragak-agak untuk menyatakan pandangan kita secara tegas dan kepentingan agama islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya dan Program Laman Web Rasmi, Kompleks Industri MARA (KIM) di Batu Muda, di sini.

Katanya, apa sahaja yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digugat.