PEMUDA Umno mencadangkan supaya rancangan pemansuhan skim pencen dimulakan dengan wakil rakyat sebagai kumpulan sasar terawal sebelum dikembangkan ke pihak lain.
Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata sayap Umno itu memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini sehingga memerlukan kepada pemansuhan pencen penjawat awam.
“Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu.
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka (kakitangan awam, tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga mati.
“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kabinet bersetuju supaya perjawatan baru bagi kakitangan awam – yang berstatus tetap selama ini – akan ditukar kepada tidak berpencen.
Katanya satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Dia berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status pencen mereka tidak akan terjejas, manakala penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Akmal berkata Pemuda Umno berharap cadangan yang dilontarkan itu didengar oleh semua pihak termasuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.
“Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui teladan.
“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.