MALAYSIA dan China akan mengadakan lebih banyak kerjasama dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dibincang dalam pertemuannya dengan Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, Liu Jianchao, Khamis lalu.
“China juga telah menawarkan kesediaan untuk menyediakan lebih banyak siri latihan, perkongsian pengalaman dan peluang pendidikan dalam bidang teknologi dan vokasinal, khususnya kepada pelajar serta pekerja di Malaysia,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu turut membincangkan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Liu diiringi Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing. – BERNAMA