MKT mahu dasar TVET dijayakan sepenuhnya

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar TVET Negara.

“UMNO di semua peringkat mesti mengambil tanggungjawab untuk membantu kerajaan menjayakan asar TVET Negara bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan oleh 1,345 institusi TVET seluruh negara dimanfaatkan dan diisi sepenuhnya oleh anak muda.”

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, malam tadi.

“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori Presiden UMNO selaku Pengerusi Majlis TVET Negara merupakan satu inisiatif yang berimpak besar yang mampu membantu anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela dan diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium.”

Seterusnya kata Dr Asyraf, UMNO mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan parti untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.

“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja Gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara,”.

Pada masa yang sama, maklumnya UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan di Pilihanraya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“UMNO menamakan Datuk Seri Di Raja Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengarah Pilhanraya BN DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan selaku Ketua War Room PRK Sungai Bakap,” ujarnya.

Mesyuarat juga bersetuju Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online