UMNO membayangkan tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman bekerjasama dengan parti itu sebelum ini menyebabkan keputusan tersebut diambil.
Menurutnya, banyak keputusan bersama yang dibuat sebelum ini di antara kedua-dua parti dikhianati oleh Pas.
“Pas ini membohong daripada dulu sampai sekarang. Saya ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang. Sewaktu berdepan kita setuju, tetapi esok tukar, tidak setuju,” katanya di Kuala Kangsar, semalam.
Sementara itu, PAS juga tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan UMNO selagi Ahmad Zahid Hamidi masih presidennya, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“PAS pun tak akan menjalin kerjasama selagi Ahmad Zahid jadi Presiden. Saya lihat keputusan (Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah ‘signal’ jelas.
“Perikatan Nasional (PN) mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dengan kekuatan yang ada pada PN,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.