‘Saya tak pernah ada masalah dengan presiden’

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi walaupun ada yang cuba menggambarkan wujud ketegangan antara mereka.

Malah Ahli Parlimen Bera itu turut mengakui, rasa hormatnya kepada Ahmad Zahid mengatasi segalanya walaupun beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan atas kapasiti sebagai Naib Presiden UMNO ketika itu.

Kerana itu katanya, setiap tindakan dilakukan secara berhati-hati demi menjaga hati pelbagai pihak.

“Suka atau tidak, dia adalah presiden parti, saya orang nombor tiga. Mesti saya hormat dia.

“Punya saya nak jaga hati mereka ini, waktu saya jadi Menteri Pertahanan, jadi TPM, PM maksimum (pengiring) berpuluh-puluh orang jadi pengiring saya.

“Kerana nak jaga hati mereka, saya tidak pernah minta dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk turunkan ke tingkat empat. Sebab kalau saya berada di sana, presiden dengar bunyi siren dia tersentuh atau terasa hati.

“Jadi saya masuk tingkat tiga ke parkir dan terus naik atas. Jadi polis tak boleh buka siren. Saya sengaja buat macam tu sebab nak jaga hati presiden saya,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dikendalikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.