UMNO menang besar di PRK Mahkota

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan lalu dan pada Sabtu lalu PRK DUN Mahkota menandakan bahawa sokongan orang Melayu dan anak muda telah terarah kepada Barisan Nasional (BN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Katanya, ini jelas sebagaimana di DUN Mahkota apabila semua saluran menampakkan sokongan berpihak kepada BN melalui calon yang ditawarkan iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.

“BN menang besar di semua saluran dan di PDM yang melibatkan bangsa Melayu pun. Ini membuktikan bahawa dakwaan kononnya orang Melayu menolak UMNO apabila bersama dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali malah sebaliknya.

“Keputusan PRK DUN Mahkota menjadi pengukur dan bukti nyata yang kononnya UMNO telah ditolak lantaran bersama dengan Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada Dap adalah tidak benar. Bangsa Melayu tetap bersama UMNO malah anak-anak muda juga menerima dan menyokong kesederhanaan, kempen berhemah dengan tawaran kestabilan demi kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian sebagai mengulas berkaitan kejayaan BN mengekalkan kerusi DUN Mahkota dengan kemenangan besar dalam pertandingan berturut-turut menentang Perikatan Nasional.

Syed Hussien merangkul kemenangan dengan jumlah 20,648 undi selepas memperoleh 27,995 undi manakala lawannya, Mohamad Haizan Jaafar memperoleh 7,347 undi.