UMNO Sabah ada autonomi tentukan arah

UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri untuk melakar dan menentukan hala tuju politik mereka, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, UMNO Pusat tidak pernah mencampuri hal ehwal UMNO Sabah untuk menentukan rakan gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya merujuk kepada satu siaran oleh sebuah portal dalam talian yang mengelirukan, separuh masak dan ditokok tambah berkenaan autonomi UMNO Sabah.

“Pertama sekali, ingin saya jelaskan bahawa UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri. Kuasa autonomi ini memberikan kebebasan kepada UMNO Sabah untuk melakar dan menentukan hala tuju politik sendiri.

“Kedua, perlu saya tegaskan sehingga ke hari ini, UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah terutamanya dalam memilih rakan gabungan pada PRN Sabah akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, UMNO Pusat melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya memberi nasihat kepada UMNO Sabah berkenaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik di negeri berkenaan.

“UMNO Pusat melalui MKT hanya menasihati UMNO Sabah berkenaan kerjasama BN dan PH demi kestabilan politik di Sabah kerana kedua-dua gabungan ini menjadi asas utama pembentukan kerajaan pusat.

“Ini kerana UMNO mengambil iktibar sejarah penggal lalu apabila tiga Perdana Menteri dan tiga Kerajaan bertukar-tukar dalam satu penggal yang merugikan rakyat dan negara.

“Nasihat tersebut juga adalah kerana UMNO merupakan sebuah parti nasional dan perlu untuk mencapai keseimbangan agar tidak mewujudkan konflik antara UMNO Sabah dan UMNO Pusat. Namun, akhirnya keputusan dan punca kuasa terserah kepada UMNO Sabah,” katanya.

Ujarnya, autonomi tersebut diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional yang memahami, membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat di Negeri Sabah.

“Autonomi ini bukan sekadar simbolik dan melambangkan komitmen tinggi UMNO dalam menghormati hak dan suara rakyat Sabah.

“…dan autonomi ini diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional unggul yang memahami, membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.

“UMNO Sabah dan rakyat – bagai akar di tanah, pucuk ke awan,” katanya lagi. – UMNO Online