UMNO tidak akan singkir MCA, MIC dari BN

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Abdul Rahman Dahlan dan Puad Zarkashi menolak andaian wujudnya gerakan untuk menyingkir MCA dan MIC daripada Barisan Nasional.

Rahman berkata tidak ada mana-mana komponen BN akan diperlakukan sedemikian biarpun ada dakwaan mengatakan bahawa DAP adalah ‘pihak luar’ yang dimaksudkan oleh presiden MCA, Wee Ka Siong.

“DAP tidak pernah pun berbuat demikian.

“Sebagai parti teras BN, saya tidak nampak sebab untuk salah satu parti keluar atau disingkirkan.

Puad pula berkata tidak ada sebab juga bagi UMNO menyingkir MCA dan MIC.

Beliau turut mengulas kenyataan Ka Siong yang mendakwa ada ‘orang luar’ yang sedang menghasut UMNO untuk berbuat demikian.

Jelas beliau, adalah mustahil untuk parti akur dengan cadangan pihak luar malah UMNO lebih suka keanggotaan BN bertambah namun terhalang kerana peraturan BN menetapkan mesti ada persetujuan semua parti komponen.

“Jika kalau ada pihak luar khususnya DAP mahu UMNO singkir MCA atau MIC, ia tidak akan berlaku. Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung, DAP pun tidak akan berani.”