‘Penyatuan Melayu ada agenda tersembunyi’

UMNO menyarankan agar agenda penyatuan dan perjuangan nasib orang Melayu perlu berasaskan fikrah serta jiwa nurani yang tulus dan ikhlas.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa jua inisiatif yang digerakkan atas sebarang nama perlu dilaksanakan tanpa sebarang tujuan politik terselindung, dan bukannya mengandungi agenda tersembunyi.

“Tanpa berhasrat mengetepikan mana-mana pihak untuk menubuhkan sekretariat atau apa-apa bentuk kerjasama, mari kita bergabung. Yang penting ialah fikrah, pemikiran dan jiwa nurani.

“Bukan ada tujuan sebaliknya, dengan matlamat parti yang tidak menang satu kerusi pun dalam pilihan raya lalu, apatah lagi hilang deposit, barulah mahu mencari jalan untuk penyatuan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, prinsip penyatuan orang Melayu secara menyeluruh masih menjadi pegangan UMNO sejak penubuhan parti itu pada Mei 1946.

Menurut beliau, penubuhan UMNO ketika itu berjaya menghimpunkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

“Malah, perjuangan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu turut termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“Begitu juga dengan usaha mempertingkatkan syiar Islam dan menjunjung kedudukan istimewa orang Melayu yang turut terkandung dalam Perlembagaan UMNO,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Pengerusi Sekretariat Melayu.

“Saya berdoa agar beliau berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan NGO Melayu demi kepentingan umat Melayu,” katanya.

Minggu lalu, satu gerakan dinamakan Sekretariat Orang Melayu telah dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah untuk mengembalikan kuasa politik serta menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu.