PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA akan kekal dalam gabungan itu walaupun kemungkinan berlakunya gerakan dalam parti terbabit melakukan usaha berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana MCA dan MIC adalah pemangkin kepada kewujudan BN.
“Tak ada (MCA akan keluar BN), (jika berlaku) saya akan diberitahu sendiri oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).
“Mungkin ada gerakan (pihak tertentu) yang dilakukan, saya pun ada dikhabarkan begitu, tetapi keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka tidak begitu, Insya-Allah mereka tetap bersama dengan kita (BN),” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak UMNO Bahagian Port Dickson, semalam.
Ahmad Zahid diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai mesyuarat perwakilan bahagian MCA yang sedang berlangsung dijangka akan menentukan sama ada parti itu akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan UMNO pada perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka pada Oktober tahun ini.
Isu itu dikatakan timbul berikutan meningkatnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti terbabit yang mendakwa parti itu dipinggirkan UMNO.
Ahmad Zahid berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, MCA mengalami permasalahan kerana mereka tidak dapat mengekalkan kerusi yang sedia ada.
Katanya, UMNO perlu menjaga rakan dalam parti komponen itu dengan baik dan membantu jika mereka menghadapi masalah.
“UMNO mesti menjaga rakan-rakan kita jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kita perkukuhkan dan saya yakin rakan kita akan terus bersama dengan gagasan BN ini,” katanya.