SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta MCA dan MIC bersabar ketika berlegarnya keresahan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional itu.
Sambil memberi jaminan mereka tidak akan diketepikan, Asyraf berkata keadaan yang wujud sekarang adalah kerana dinamik politik negara hari ini.
Katanya, semangat BN masih kuat seperti dahulu, dan MCA serta MIC sebagai komponennya perlu menerima keadaan itu dan bersabar, sama seperti keadaannya dengan UMNO.
“Jangan sesekali sombong dan angkuh. Kita tak boleh bersifat sedemikian jika kita ingin berada di atas.
“Kita tak boleh menganggap kita masih kuat untuk berdiri sendiri dan enggan bekerjasama dengan parti lain; kita mesti lebih realistik dan praktikal.
“Semua parti komponen BN, termasuk UMNO ada 30 kerusi Parlimen yang perlu dipertahankan. Untuk itu, kita perlu bekerjasama.
“Pucuk kepemimpinan parti akan berbincang meletakkan calon di lebih banyak kerusi pada pilihanraya umum akan datang,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung UMNO bahagian Rompin di Bandar Muadzam, semalam.
Asyraf berkata, BN sentiasa terbuka membincangkan pelbagai isu dan bekerjasama dengan parti lain.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa bahagian MCA seluruh negara yang sebulat suara meluluskan ketetapan menjadi parti bebas kerana menolak kerjasama dengan DAP.