UMNO tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti lain pada pilihanraya negeri Sabah, kata presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata UMNO akan bertanding menggunakan lambang BN.
Ditanya sama ada BN akan bertanding solo, beliau berkata rundingan dengan parti lain sedang berlangsung.
“Kita dah jumpa banyak parti. Pintu kerjasama tidak terbuka dan tertutup sepenuhnya. Dalam erti kata lain, masih ada ruang untuk berunding,” katanya di Kota Kinabalu semalam.
“Kita harap ada keputusan positif. Tunggu dan tengok keadaan,” katanya.
Mengenai agihan kerusi, beliau berkata belum ada rundingan mengenainya, terutama bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.
Beliau juga berkata, keanggotaan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dalam UMNO kini digantung.
Sementara itu, ketua UMNO Sabah Bung Moktar Radin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN nanti jika ia benar-benar ikhlas dan jujur.