Usah lagi mimpi di siang hari – Mahdzir

UMNO tidak boleh lagi berada dalam keadaan selesa atau terus bermimpi di siang hari jika ingin memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti itu perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran termasuk serangan fitnah yang boleh menjejaskan sokongan rakyat.

Pengerusi UMNO Kedah itu berkata, banyak cabaran perlu didepani parti antaranya berita-berita fitnah yang boleh mempengaruhi pengundi.

“Kita tidak boleh leka. Pilihan raya mungkin pada 2027. Kita kena fikir macam mana nak tambah kerusi, bukan hanya kekalkan kerusi Parlimen dan DUN yang sudah ada,”

“Ada tiga berita iaitu pertama cerita benar, kedua cerita separuh benar dan ketiga berita fitnah. Kita harus belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini.

“Contohnya (beberapa fitnah terhadap) (Datuk Seri) Najib Razak semasa menjadi Perdana Menteri. Satu negara percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Desaru pada Ahad.