Pemuda tangguh himpunan ‘Bendera Terbalik’

PEMUDA menangguhkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan “Himpunan Maruah Tanah Airku” semalam yang pada mulanya direncana diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai membantah pemilik kedai yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Dalam satu kenyataan, sekretariat Pemuda Umno berkata keputusan itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak Pemuda Umno Malaysia memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak, khususnya rakan-rakan media,” tambah sekretariat Pemuda Umno.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menangguhkan rancangannya untuk “mendidik” pemilik kedai berkenaan cara mempamerkan Jalur Gemilang selepas polis menahan seorang lelaki berhubung kes itu.