UMNO bantah arak di acara rasmi kerajaan

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan membawa isu minuman beralkohol didakwa dihidangkan pada majlis makan malam dikaitkan dengan sebuah agensi kerajaan ke mesyuarat Kabinet.

Mewakili UMNO, beliau berkata, parti berkenaan menolak sekeras-kerasnya perbuatan itu yang didakwa berlaku pada satu majlis makan malam anjuran Tourism Malaysia.

“Saya sendiri akan membawa ke mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO. Sebagai presiden parti, kita menolak 100 peratus,” kata timbalan perdana menteri pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) 2025 peringkat Johor di Larkin, semalam.

Menyifatkan perbuatan itu tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, beliau menegaskan, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti bangsa serta agama dan dalam kes terbaharu itu, sensitiviti umat Islam dan agama Persekutuan.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam dan kita menghormati agama, budaya serta kelaziman lain-lain agama,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Terdahulu, tular gambar memaparkan program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol.

Namun Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global yang julung kali dianjurkan Tourism Malaysia itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.

Tambahnya lagi, acara selama dua hari setengah dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.