SAMBIL mengesahkan MCA akan diberi peluang bertanding pada pilihanraya negeri Sabah, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu kajian dibuat mendapati ahli-ahli MCA dan MIC tidak mahu parti itu meninggalkan BN yang telah disertai puluhan tahun.
Presiden Umno itu berkata terdapat di kalangan pemimpin parti itu yang “merajuk” apabila tidak diberikan “mainan”, namun suara mereka tidak mencerminkan sentimen sebenar akar umbi.
“Kita membuat kajian, ahli di bawah tidak mahu keluar daripada BN, tetapi satu tokoh-tokoh itu mungkin mereka perlukan toys, jadi apabila tidak dapat toys lagi, maka mereka hentak-hentakkan kaki di lantai,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Menurut Ahmad Zahid, dia telah bertemu dengan pimpinan MCA dan MIC “dua hingga tiga kali” dalam minggu ini ketika ditaya mengenai hubungan dengan kedua-dua parti itu.
Sebelum itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata dia bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik demi memastikan kelangsungan parti dan memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat India.
“Kita telah memutuskan bahawa seorang pemimpin mesti bertindak demi kepentingan parti. Jadi, saya telah membuat keputusan untuk membuka pintu kepada perbincangan dengan parti lain,” katanya.
Pada Ogos lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menjemput MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional.