PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya beliau mempelawa bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin (KJ) untuk kembali menyertai parti itu.
Penafian tersebut dibuat susulan laporan beberapa portal berita sebelum ini yang mendakwa Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dijangka menyertai semula UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung hujung bulan depan.
Menurut laporan sama, Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio dikatakan telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi UMNO, khususnya Presiden parti untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.
Difahamkan, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Ahmad Zahid pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.
“Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kami tidak berbincang apa-apa pun. Apa yang terpapar di media hanyalah berita yang ditulis oleh media.
“Saya amat menghormatinya dan tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” ujarnya di Putrajaya, semalam.
