BARISAN Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan penambahan empat calon baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai langkah memperkukuh barisan kepemimpinan dan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya berkenaan.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan dibuat selepas meneliti perkembangan mutakhir serta hasil rundingan yang diperhalusi bagi memastikan representasi parti lebih menyeluruh dan strategik.
“Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat calon baharu yang diumumkan ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (N43 Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (N54 Karamunting) dan Chaya Sulaiman (N70 Kukusan).
