SERAMAI 596 calon akan bertanding pada piihanraya negeri Sabah ke-17 bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pada 29 Noveber ini.
Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 berlangsung serentak di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) semalam.
Tempoh penamaan calon yang ditutup pada pukul 10.00 pagi menyaksikan calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas disahkan layak bertanding.
Menurut pecahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon Bebas muncul sebagai kumpulan terbesar dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan 73 calon, serta Parti Impian Sabah (PIS) dengan 72 calon.
Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menampilkan 55 calon, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) mempertaruhkan 46 calon.
Barisan Nasional (BN) mengemukakan 45 calon, Perikatan Nasional (PN) 42 calon, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 40 calon.
Selain itu, UPKO menampilkan 25 calon, Pakatan Harapan (PH) 22 calon, Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20 calon, manakala Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) meletakkan 17 calon.
Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) menyertai saingan dengan 16 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 14 calon, manakala Parti Rumpun Sabah (Rumpun) menampilkan tujuh calon.
Turut bertanding, Parti Maju Sabah (SAPP) dengan enam calon, Parti Damai Sabah (SPP) lima calon, Perjuangan Rakyat (PR) lima calon, dan Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) tiga calon.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut meletakkan tiga calon, diikuti Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) tiga calon, Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) masing-masing menampilkan seorang calon.
SPR turut memaklumkan bahawa calon tertua berumur 86 tahun akan bertanding di DUN Bingkor, manakala calon termuda berumur 24 tahun akan bertanding di DUN Silam. Masing-masing akan mewakili Parti Kebangsaan Sabah.
PRN Sabah Ke-17 mencatatkan antara jumlah calon tertinggi dalam sejarah pilihan raya negeri itu, dengan persaingan dijangka sengit di kebanyakan kerusi seluruh Sabah.
