DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu parti komponennya, MIC sejurus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata keutamaan BN dan komponennya ketika ini adalah memberi tumpuan kepada PRN Sabah.
“Ya saya percaya kita (BN) akan memberi keutamaan dalam isu MIC, kita akan berikan keutamaan dan saya fikir semua parti komponen ketika ini mempunyai persefahaman (beri keutamaan kepada PRN Sabah).
“Jadi kita selesaikan dulu di Sabah dan ia difahami oleh semua parti komponen (BN) dan selepas itu kita akan bersama-sama berbincang dalam semangat Barisan Nasional,” katanya di Putrajaya, semalam.
Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Pada hari sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Vigneswan dipetik berkata MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan.
