Umno, BN bukan musuh MIC – Vigneswaran

MIC terbuka untuk bertemu dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah menganggap gabungan yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dan UMNO sebagai musuh.

“Buat masa ini kita belum dapat jemputan untuk adakan pertemuan dengan BN. Boleh berjumpa bila-bila masa. Semua orang kena faham BN atau UMNO dengan MIC bukan musuh pun, kita bersama lebih 60 tahun.

“Apa yang kita buat ini demi masa depan parti kerana kita lihat MIC tidak diberikan ruang dan apabila sesuatu keputusan diambil bukan bermakna MIC hendak ugut sesiapa, MIC tidak pernah macam itu dan tidak pernah hendak mengecilkan hati sesiapa,” katanya Khamis lalu.