Setiausaha Agung Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata fokus parti ketika ini adalah mengukuhkan kerajaan perpaduan bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.
“Kita tidak ada apa-apa keputusan berkenaan dengan itu (kerjasama dengan PH pada PRU16).
“Umno sebagai parti yang ada pengalaman yang panjang dalam mentadbir negara, sudah tentu kita lebih memikirkan soal rakyat,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebarang keputusan politik bakal dibuat Umno akan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Jika kita tak utamakan rakyat, kesannya bukan sahaja kepada Umno dalam pilihan raya akan datang, pasti rakyat akan menghukum kita kerana mencetuskan suasana yang tidak selesa, ketidakstabilan politik yang akan memberi kesan kepada ekonomi, pelabur tak datang, dan akhirnya rakyat menderita.
“Jadi, itu sebab saya kira kalau kita lihat perbahasan-perbahasan yang ada seketika ini pun, pemimpin-pemimpin Umno dalam konteks ini (kerjasama politik) amat rasional, bukan bersifat emosi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai bekas pemimpin Umno yang mahu kembali menyertai parti itu selepas pintu dibuka semula, Asyraf berkata jumlahnya ramai namun tidak dapat dinyatakan secara terperinci.
