Umno mahu RUU URA ditambah baik

UMNO menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, parti itu tegas berpendirian bahawa UMNO tidak menentang pembangunan bandar, namun RUU URA ini perlu diperbaiki dan ditambah baik termasuk beberapa pindaan yang harus diperhalusi sebagaimana cadangan Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, Jawatankuasa Khas UMNO Mengenai URA ini telah melakukan beberapa siri libat urus termasuk Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada 3 Oktober 2025 lalu dengan meluluskan 14 syor cadangan penambahbaikan RUU URA.

Oleh itu, UMNO menegaskan bahawa RUU URA hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu setelah semua cadangan penambahbaikan diambil kira.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang menarik balik RUU tersebut daripada jadual pembentangan.

Petang Khamis, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUUPSB) bagi membolehkan ia ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.