Adun Merlimau berkata, pilihan raya Melaka sepatutnya menjadi kes ujian bagi kerjasama politik antara dua parti Melayu-Muslim terbesar itu, menyebut bahawa Pemuda Umno secara konsisten memperjuangkan perpaduan sejak awal lagi.
“Saya lebih suka Umno-PAS, walaupun PAS tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka lalu.
“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap. Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun Umno perlu beri laluan kepada PAS (di beberapa kerusi),” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.
Hos, Khairy Jamaluddin, sebelum itu bertanya kepada Akmal sama ada beliau lebih suka Umno bertanding solo atau berganding bahu dengan parti politik lain pada PRN akan datang.
Akmal berkata, pengundi teras Melayu, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar, bimbang tentang perpecahan dalam komuniti itu kerana kehadiran pelbagai parti Melayu.
Beliau berkata, Umno hanya boleh memulihkan kekuatannya dengan menjalin semula hubungan dengan pengundi teras Melayu-Bumiputeranya, sambil menyebut undi yang hilang daripada Umno bukan pergi kepada Pakatan Harapan, sebaliknya kepada PAS dan Perikatan Nasional.
Menjawab soalan Khairy sama ada orang Melayu berasa terancam, Akmal berkata sentimen sedemikian lebih ketara di luar pusat bandar.
“Mungkin orang di Kuala Lumpur tak rasa. Anda boleh datang ke Melaka dan lihat sendiri, pergi ke kampung-kampung,” katanya.
